SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin tidak dapat menahan perasaan apabila mengalirkan air mata kegembiraan selepas berjaya mengenepikan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya kerana berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.
Bung Moktar bagaimanapun diperintahkan oleh Ketua Hakim Syarie Selangor, Mukhyuddin Ibrahim di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam supaya membayar denda sebanyak RM1,000 dan jika gagal berbuat demikian akan dipenjara enam bulan.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana setelah melalui proses mahkamah begitu lama, akhirnya ketentuannya ditentukan pada hari ini dan saya harap isu ini akan tamat di sini.
“Saya percaya perkara yang baik tetap baik dan Allah telah beri yang terbaik pada hari ini sebagai hadiah pada hari pertama bulan puasa ini,” kata Bung Moktar di luar kamar mahkamah di sini semalam.
Beliau ditemani isteri keduanya, Zizie Izette atau nama penuhnya Zizie Izette A. Samad, 32.
Zizie yang turut mengalirkan air mata kegembiraan berharap dengan keputusan mahkamah itu, dia dan suami dapat menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri yang sempurna.
“Syukur Alhamdulillah semua sudah selesai dan kami mahu jalani kehidupan sebagai suami isteri,” katanya. Bung Mokhtar telah membayar denda itu.
Terdahulu, Mukhyuddin berkata, mahkamah menerima lima daripada 13 petisyen rayuan yang dikemukakan oleh Bung Moktar setelah tidak berpuas hati dengan hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 19 Mei lalu bagi kesalahan berpoligami tanpa izin mahkamah.
No comments:
Post a Comment